Tuesday, January 8, 2013

Jodoh menurut ISLAM


Berbual tentang jodoh dengan rakan sekerja. Ramai muda-mudi yang sudah berumahtangga, yang sedang dilamun cinta dan tidak kurang pula yang telah berpisah. Ramai yang kawin muda seawal 20-an, yang kahwin lewat selewat 40-an / 50-an dan tidak kurang pula yang tidak berkahwin. Apa masalah mereka? Kadang-kala kita tengok di alam realiti, mereka yang tidak berkemampuan namun mahu terus berumahtangga, sebaliknya yang berkemampuan tiada nilai disisi lelaki/wanita. Ada pula yang sudah berumatangga bermain kayu tiga. Banyak persoalan kepada situasi tersebut. Apa pun persoalannya, saya ingin Tips Mengenali Jodoh Menurut Islam.
Ramai sekali muda-mudi yang hidup dalam dilema tentang soal jodoh. Pasti ramai yang sudah mulai bosan untuk menjawab soalan dan ayat seperti "Bila lagi mahu kahwin?", "Takkan takde calon lagi", "Ke awak yang memilih sangat?" dan sebagainya.
Apa yang sebenarnya berlaku? Urusan Jodoh itu adalah urusan Allah SWT, cuma kita perlu tahu bagaimana cara mengenali jodoh dalam islam. Tips ini berguna bagi anda yang sedang mencari jodoh. Mari saya terangkan bagaimana.
Tanda jodoh dalam Islam itu adalah “3M”. Apa itu "3M"? Siapa di antara lelaki mahupun wanita yang boleh MemahamiMemaafkan dan Memotivasikan kita ke arah yang lebih baik InsyaAllah itulah jodoh kita. Huraian berkenaan "3M" adalah seperti berikut: Memahami - Setiap pasangan mestilah memahami antara satu sama lain. Ini penting kerana setiap daripada kita mempunyai latar belakang kehidupan yang berlainan. Maka setiap sifat kita mampu mempengaruhi atau dipengaruhi sifat pasangan kita. Memaafkan - Sifat memaafkan ini amat penting sekiranya tiada sifat ini, nescaya hubungan kekeluargaan tidak kekal lama (Ini yang kita cuba elakkan). Lelaki memang lebih egonya, namun jika ingin selamat, buang segala ego demi mempertahankan rumahtangga. Memotivasikan - Pasangan mestilah memotivasikan antara satu sama lain. Faktor seperti stres, tekanan kerja, masalah kewangan mungkin menyebabkan keretakan rumahtangga, namun sikap memotivasikan ini mampu menaikkan dan memulihkan kembali semangat pasangan anda.


Jadi sekiranya anda mahu mencari jodoh, carilah yang boleh melakukan 3M di atas supaya hubungan cinta dapat kekal dan tidak berlaku cerai-berai. Jodoh itu bukan berdasarkan nafsu, kekayaan, rupa paras, pangkat dan sebagainya tetapi haruslah berdasarkan Islam  iaitu beraqidah, taat beribadah dan cantik akhlaknya. Jika cinta itu menurut Islam maka cinta itu datangnya dari Allah.

Ramai muda-mudi sekarang bercinta namun tidak semua ke jinjang pelamin. Jangan percaya tentang ramalan cinta / ramalan jodoh di internet, televisyenataupun cinta monyet (Cinta kanak-kanak di alam remaja). Ini kerana itu bukan jodoh yang sebenar-benarnya. Ada yang cuba mengkategorikan jodoh kepada 3 jenis iaitu:
1) JODOH DARI SYAITAN 
iaitu lelaki dan perempuan yang berjalan berpegangan tangan dan menuju ke arah kemaksiatan. Apabila si perempuan tadi mengandung, barulah si lelaki tadi menikahi perempuan tersebut.

2) JODOH DARI JIN
iaitu lelaki yang menyukai seorang perempuan yang tidak menyukai dirinya, lalu dibomohkan dan disihirkan perempuan itu untuk setuju berkahwin dengan lelaki tadi.

3) JODOH DARI ALLAH
iaitu pandangan 2 pasang mata iaitu lelaki dan perempuan sehingga menusuk ke dalam jiwa. Lalu,lelaki itu pun masuk meminang perempuan tadi. Perempuan tadi menerimanya. Mereka bernikah dan bercinta selepas itu kerana cinta selepas kahwin adalah satu2nya cinta yang diredhai ALLAH. Bercinta sampai ke syurga. Itulah yang digelar "Syurga Cinta" tanpa berlakunya sebarang bentuk kemaksiatan.

Apa jua jenis cinta, ianya kuasa Allah. Jadikan "3M" diatas sebagai panduan asas dalam mencari jodoh supaya benar-benar mendapatkan jodoh menurut Islam yang dapat membahagiakan hidup anda kelak. Mencari jodoh berdasarkan Islam Insya Allah akan membahagiakan hidup anda di dunia maupun akhirat.
Ingin saya kongsikan 2 jenis Do'a:
Do'a Mencari Jodoh
Jika anda mengalami keadaan putus cinta, Insya Allah amalkan Do'a kedua ini:
Do'a Putus Cinta
Saya hanya berkongsi tips ini untuk kebaikan bersama. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah S.W.T dan yang lemah itu datang dari saya. Hakikatnya datang dari Allah jua. Saya akan bertemu para pembaca lagi untuk ulasan lanjut tentang jodoh. Insya Allah.
Dipetik daripada: www.myhazman.com.my

Hikmah menjadi orang yang SABAR


ISLAM menuntut umatnya supaya sentiasa bersabar. Setiap dugaan dan halangan hidup seharian perlu ditempuhi dengan redha dan penuh keinsafan. Umpamanya apabila ditimpa kemalangan atau musibah, hendaklah menyerahkan diri dan bertawakkal kepada Allah SWT.
Sikap sabar akan memberi ganjaran kepada manusia baik di dunia atau akhirat. Ini dijelaskan dalam al-Quran bahawa setiap kebaikan itu walaupun sebesar zarah akan mendapat balasan dan ganjaran baik. Begitu jugalah ganjaran terhadap sifat sabar kerana mengharapkan keredhaan Allah SWT dan membuat kebajikan. Allah menjanjikan balasan yang baik dan kemenangan yang besar bagi orang-orang yang sabar.
Justeru, hendaklah kita berlumba-lumba membuat kebaikan seperti bersedekah, menolong orang dan ringan dalam mengerjakan amal ibadat. Begitu juga dalam hal berkaitan sifat sabar, terutama ketika berhadapan dengan masalah seharian. Pergaulan dengan jiran, rakan dan saudara mara perlu dijaga dengan baik. Sekiranya timbul perbalahan, ianya perlu ditangani dengan adil, saksama dan penuh kesabaran. Kehilangan sifat sabar hanya akan mengeruhkan keadaan, bukan menyelesaikan masalah. Sifat sabar membuktikan kewibawaan, peribadi dan ciri Muslim sejati serta mulia. Belajarlah menghormati jika kita mahu diri dihormati dan disegani orang lain.
Ganjaran sabar di dunia ialah mendapat kemenangan dan kejayaan hidup dalam menegakkan kebenaran Allah. Firman Allah bermaksud: “Ya, cukuplah jika kamu bersabar dan bertakwa dan mereka akan datang menyerang kamu seketika itu juga, nescaya Allah akan menolong kamu dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda.” (QS Ali Imran: 125).
Orang bersabar terhadap ujian Allah SWT dan sebarang kesusahan dalam mempertahankan keimanan amat dikasihi Allah serta diberikan kurnia yang banyak. Akhirnya hidup kita akan dipenuhi dengan kegembiraan dan kebahagiaan sepanjang masa. Begitu juga orang yang kuat dalam kesabaran kerana mempertahankan keimanannya juga akan mendapat keuntungan. Firman Allah bermaksud: “Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikan kepada mereka...” (QS Ali Imran: 170).
Sebenarnya pelbagai ganjaran dan balasan akan diberikan oleh Allah kepada orang bersabar. Ini kerana melalui sifat sabar akan membentuk jiwa yang kuat dan mental yang berani untuk menghadapi segala cabaran dan peristiwa yang boleh mengganggu gugat keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Ganjaran besar seterusnya menunggu orang yang sentiasa sabar dengan ujian Allah pada hari akhirat. Diketahui bahawa keuntungan, kesenangan, harta benda dan wang yang banyak yang diperoleh di dunia hanyalah sementara. Sebaliknya keuntungan dan kebahagiaan pada akhirat akan kekal dan abadi. Perkara inilah yang akan dinikmati oleh golongan beriman dan sabar dalam keimanannya. Ini dapat dihayati melalui maksud firman Allah: “Hai orang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah waspada dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.” (QS Ali Imran: 200).
Allah menyediakan tempat kembali yang mulia dan mengangkat kedudukan hambaNya yang sabar dan beriman ke tempat yang terpuji beserta para anbiya dan salaf al-soleh. Mereka inilah yang akan menerima catatan amal di sebelah kanan dan mendapat layanan sempurna pada akhirat kelak iaitu dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan yang tidak dapat digambarkan dengan akal fikiran.
Hikmah sifat sabar dapat kita pelajari melalui ayat-ayat Al-Quran sepertimana berikut:
“Orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh kelak akan kami masukkan ke dalam syurga...” (QS An-Nisa: 122)
“Barang siapa yang membawa amal yang baik maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda amalnya...” (QS Al-An'am: 160)
“Kecuali orang sabar (terhadap ujian) dan mengerjakan amal soleh, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.” (QS Hud: 11)
Jelaslah, sabar adalah sifat yang membawa kebajikan. Malah Allah SWT memberikan pahala bagi orang yang membuat kebajikan dengan ganjaran berkali-kali ganda. Orang yang sentiasa bersabar akan mendapat keampunan daripada Allah SWT terhadap segala dosa yang pernah mereka lakukan dengan pahala yang besar. Oleh itu, sentiasa ingat bahawa sabar itu sebahagian besar dari iman agar hidup kita sentiasa bahagia dan sejahtera.